Dilema Pengguna.
July 3, 2008
MENTERI oh Menteri …
Pak2 Menteri kita nampaknya tahu bercakap tentang isu harga barang, isu pengangkutan awam, isu subsidi minyak, isu ketuanan Melayu dan hak bumiputera, isu PATI … banyak tu. Kalau boleh hari2 nak keluar media dan membincangkan isu2 yang dihadapi oleh rakyat. Sangat mulia niatnya!
Itulah hikayat Menteri2 kita … yang mana selepas perjumpaan dengan media – pulang dengan menaiki sebuah kereta yang berharga tidak kurang dari RM 80K. Sutnya pula tak kurang dari RM300, harganya. Mungkin juga mereka tidak pernah merasa Slurpee di 7Eleven. Mungkin juga mereka tidak perlu keluar ke pasar untuk membeli ikan kembung dalam 5-6 ekor. Mungkin juga isteri2 mereka tidak pernah tahu apa jenis kuali yang pemegangnya mudah tertanggal atau yang mana periuk keluaran tempatan.
Kakak aku bakal mendapat subsidi kerajaan berjumlah RM 625 setelah dia memperbaharui cukai jalan. Nilai ini seringkali dikira sebagai RM 1.70 sehari dan ia tidak setanding dengan apa yang dihadapi oleh rakyat sebenarnya. Kenaikan 40% harga minyak menjadikan rakyat terpaksa berkurang 30-40% perbelanjaan mereka sehari juga. Jadi, dengan ini – nak tak nak kenalah ubah gaya hidup.
Betullah tu – seiring dengan kempen Pak Lah – Ubah Gaya Hidup. Maka, elaun keraian menteri2 dipotong 10%. Pembangkang pula mengatakan semua tu gimik, propa, publisiti murahan dan sebagainya. Lantaklah. Ini kerana walaupun mereka mencari publisiti – tapi, siapa yang akan melayan publisiti itu kalau bukan rakyat. Maka, kalau yang dicarinya publisiti tapi yang mereka dapat hanya caci maki, janganlah berputus asa bak kata kugiran Spider. Cari gali lagi cara untuk mendapat sokongan rakyat.
Rakyat dan pengguna adalah orang yang sama. Tapi, sebenarnya kalau nak diikutkan Menteri juga pengguna. Pak Lah juga pengguna. Mari kita tanya Pak Lah kalau tayar yang digunakan oleh keretanya pancit di tengah jalan tetapi keretanya tiada tayar spare. Apa idea yang boleh digunapakai bagi situasi itu. Mana ada idea – sudah tentu kemarahan yang menular dulu. Namun begitu, agaknya yang mana perlu dikomen – produk tayar tersebut atau kereta yang digunakan? Tayar mudah pecah atau kereta tidak mengikut piawaian?
Kalau itu hanya mitos yang tidak mungkin berlaku kepada Pak Lah – tapi, itulah yang dialami oleh pengguna yakni rakyat Malaysia yang lainnya. Nak diboikotnya Petronas – tapi sekurang2nya Petronas itu adalah syarikat tempatan. Nak guna Shell – sudahnya terfikirkan Fitna’ dan Belanda. Nak beli beras – katanya kena perhatikan kod warna yang membezakan kualiti dan harga beras. Nak cuti2 Malaysia – mana cukup duit untuk jalan2 … cukup2 makan pun tidak. Nak naik bas pergi kerja – bau2an warga asing dengan etika tatacara duduk mereka pun boleh buat gaduh. Nak naik teksi – kes permit punya hal, meter ‘tidak berfungsi’. Nak komplen di talian hayat dan emel2 hayat kementerian – apa jawapan pun tak dapat melainkan komen anda amat dihargai dan permohonan dalam proses.
Di Malaysia ini sendiri, bagi yang beragama Islam – nak makan pun kena pilih produk betul2. Tak dinafikan mesej2 yang berbau hasutan untuk tidak menggunakan certain product menular dalam masyarakat. Tapi, hujah2 yang dilontarkan tidak dapat tidak untuk dipercayai juga kebenarannya. Kita nak makan yang itu, ada gelatin haram. Ada unsur2 bahan yang haram. Mentos dicampur dengan Coke katanya membunuh. Coke sendiri katanya mengandungi unsur alkohol. Pembuktian demi pembuktian dilakukan oleh beberapa komuniti pejuang halal food.
Kerapkali juga di TV memaparkan beberapa syarikat yang diserbu oleh KPDN, JAKIM dan PPIM, tak kurang juga TV3 dan NTV7 – mendedahkan tatacara penyembelihan ayam yang tidak mengikut hukum Islam. Jadinya, sebelum ini kita makan makanan yang haram dari segi pengurusannya. Bayangkan, kalau setiap hari kita mendapat makanan yang status halalnya diragui. Ini adalah dilema pengguna2 Islam.
Begitu juga kemiskinan. Orang miskin juga pengguna. Pak Mail yang tinggal dalam pondok di hujung kampung di Batu Kurau juga tahu menggunakan sabun FAB. Mak Ngah dan keluarga juga tahu membeli kicap Tamin di kedai. Majoriti pengguna semuanya sudah tahu apa jenis barangan yang akan dibeli apabila tiba di kedai. Bukan nganga “aaa…” dan terkedu.
Tapi, keadaan “aaa…” dan terkedu itu sudah berlaku sekarang. Bukan kerana tidak tahu hendak beli apa, tapi lebih kepada tidak mampu membeli. Inilah yang aku timbulkan soal kereta dan sut mahal yang dipunyai oleh pak2 Menteri.
Tahu kenapa wakil2 rakyat Pakatan Rakyat lebih disokong oleh rakyat? Ini kerana mereka mampu duduk sekali di kedai2 kopi dan bersama2 jalan kaki ke masjid untuk berjemaah dan sama2 menghisap rokok Dunhill 14. Memang bila pulang ke rumah, mereka masih mempunyai Milo dan Horlicks dan gula Prai untuk membuat air minum. Tapi, sekurang2nya mereka sempat merasakan ‘kehidupan’ rakyat terbanyak yang miskin ini. Ramai rakyat yang miskin kerana kerajaan sendiri mengumumkan pendapatan isi rumah RM 2K ke bawah adalah dalam kategori miskin.
Bagaimana rakyat2 miskin ni nak merasai apa yang pak2 Menteri dan wakil2 rakyat rasa ketika di rumah?
Kalau diperhatikan juga – ada yang ketika ditemuramah di kaca TV mengatakan harga barang kita masih ok, masih murah berbanding negara2 lain walaupun tak pernah ke luar negara. Ini bukan soal apa yang orang luar rasa. Ini soal apa yang kita rasa! Pak2 Menteri tidak berada dalam situasi kita – maka, mana mereka tahu RM 2K adalah kategori miskin? Bagaimana dengan yang berpendapatan RM 2500 dan ada 3 orang anak? Tak perlu aku kira – sekarang cuba fikir2kan sendiri sekiranya kamu bersetuju bahawa RM 2K adalah kategori miskin.
Kerajaan menggunakan statistik dan kajian perbandingan dengan itu dan ini, negara itu dan negara ini, istilah2 ekonomi dan perdagangan yang perkataannya biasa saja, tapi bunyinya gempak. Pengertian istilah itu jauh dirasakan memalukan sekiranya ada individu yang tidak tahu maksudnya. Istilah2 seperti fiskal, defisit, barang-perlu … tapi, di hujungnya tetap tiada jawapan.
Jawapan yang ada, itulah dia – kita rakyat aka pengguna mengalami dilema!